This STAROBW2025 is proudly brought to you by STARIAN 2005 (Batch of 45)
PENTAS MEMORI
LIMA MUSIM BERLALU
Oleh: Mohd Saiful b. Saidin, Farhan Nazmee b. Kamarul Zaman
Ketika bintang sedang begemerlapan sinarnya, bermulalah satu titik kehidupan yang baru untuk kami di sebuah dunia yang nyata berbeza. Keindahan yang jelas menjadikan kami lebih gembira. Siapa sangka yang jangka waktu yang cukup singkat ini sudah hampir berakhir. Kami yakin inilah yang dikatakan keakraban yang tidak akan hilang dalam setiap minda yang menghargainya – Batch of 45.
MELANGKAH TEKAD, PENUH SEMANGAT … MENITI SAAT BERSAMA, MAHKOTA PERTAMA
4 Januari 2001, menyambut kehadiran kami ke alma mater yang megah lagi bersejarah ini, iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Warga Batch of 45, menjadi pelapis untuk mencorakkan kegemilangan STAR buat masa seterusnya. Langkah disusun, rentak dialun untuk memulakan hidup baru di sini. Kami yang dilabelkan sebagai “Batch Harapan” menjadi taruhan STAR untuk mengalun rentak tradisi kecemerlangannya buat beberapa musim seterusnya. Dengan penuh semangat kami memulakan penjelajahan penuh bermakna ini. Ibu dan ayah tiada di sisi, tetapi doa dan berkat mereka tetap mengiringi. Masih teringat lagi, sewaktu hari pendaftaran, mata kami terpaku dengan padang hijau yang terbentang luas. Bangunan-bangunan yang tersergam indah, semakin membuatkan kami lebih bersemangat. Di saat perpisahan dengan ibubapa, perasaan mula berubah. Walaupun agak sedih tetapi anak terunamu mesti kental dan terus cekal untuk meningkat matang menjadi orang berilmu.
Diari baru kami mula tercoret … Blok tingkatan satu menjadi medan mengikat silaturahim. Akrab persahabatan yang kian terjalin dengan penuh harmoni menyemarakkan lagi jalinan persahabatan kami. Terasa bagai adik-beradik pula, senang dikongsi bersama-sama, susah diratapi bersama. Penjelajahan musim pertama diawasi oleh lima orang prefect blok untuk mengawasi segala tindak tanduk kami. Kehadiran Ustaz Tanusi sebagai pengatur arah juga menceriakan kehidupan kami di STAR.
Ayahanda Tuan Hj. Ngazizan bin Hj. Din menjadi peneraju STAR ketika ini. Fokus beliau tentang keberkesanan kelas-kelas persediaan sangat dititik beratkan. Dengan tiket 5A UPSR kami diberi kepercayaan untuk melakarkan kejayaan akademik yang terbaik untuk STAR tercinta. Lapangan-lapangan ko-kurikulum juga sudah mula kami terokai. Batch of 45 membuktikan peribahasa kecil-kecil cili api sangat bertepatan. Salah seorang daripada kami telah terpilih untuk mewakili sekolah dalam skuad U-18 pasukan hoki sekolah. Disamping itu salah seorang daripada kami juga terpilih untuk menyertai pancaragam sekolah. Kejayaan beberapa orang daripada batch ini mewakili STAR untuk pertandingan Choral Speaking turut dibanggakan. Dalam arena bahas pula, 3 daripada kami berjaya mewakili sekolah untuk pertandingan Bahas 4 Penjuru Peringkat Negeri Perak, dan berjaya mendapat tempat ketiga keseluruhan. Skuad bola sepak U-14 juga turut menampakkan penyertaan daripada batch kami. Penyertaan kami sebagai warga STAR yang baru turut diserikan dengan iringan lagu-lagu ‘cheers’ yang diajar oleh abang-abang Form 5 untuk menyemarakkan lagi semangat STARIAN di kalangan kami, jelas kelihatan. Setiap perkara yang berlaku semestinya mendewasakan kami. Penghujung musim pertama semakin hampir. Pengalaman bermakna selaku putera bongsu di STAR sememangnya bermakna. Keakraban yang nyata terjalin membuktikan keutuhan kami. Penjelajahan kami yang penuh tawa riang berehat sementara. Kami berpisah buat sementara waktu …
NILAI MURNI DISEMAI, BUDI DITUAI, PENGALAMAN INSPIRASI, MAHKOTA KEDUA MENANTI
Setelah setahun bergelar putera bongsu, kami meningkat matang. Bumi STAR tercinta ini masih luas untuk diterokai. Ranjau yang penuh onak dan duri pasti ditempuhi. Kami ditempatkan di asrama Rumah Merah yang berubah wajah menjadi blok asrama tingkatan 2. Pada tahun ini juga kami mula merasa erti kehidupan sebagai seorang pelajar STAR yang sebenar. Kabilah-kabilah warna sudah mula kelihatan di antara kami. Namun perpaduan Batch of 45 yang sememangnya kukuh tetap menyatukan kami sebagai satu keluarga yang besar. Hidup kami bertambah matang, selaku seorang remaja yang mencari identitinya. Rambut sama-sama hitam tapi hati lain-lain, itulah manusia. Kami mula mencari hala yang terbaik bagi memastikan batch kami tetap yang terbaik. Peralatan-peralatan untuk asrama telah digantikan dengan yang baru. Berasa lebih bersemangat rasanya kami untuk bersekolah.
Keunggulan dan kewibawaan batch kami semakin terserlah apabila 8 orang daripada kami telah diberi mandat oleh pihak sekolah untuk menjadi pengawas. Penjelajahan kami semakin bererti setiap hari. Akademik menjadi keutamaan kami kerana ia menjadi nadi kepada kehidupan kami di STAR nan tercinta. Setelah separuh daripada penjelajahan kami selesai, kami terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada ayahanda Tn Hj Ngazizan. Setiap yang pergi pasti berganti. Kehadiran Tuan Haji Ariffin bin Abdul Rahman pada 1 Jun 2002 sudah dijangka oleh warga STAR. Pendekatan yang dibawa untuk menentukan hala tuju STAR sememangnya bertepatan. Misi beliau untuk meletakkan STAR pada tempatnya semakin jelas terbukti. Penjelajahan diteruskan dengan lebih jauh. Berasa pilu juga di hati apabila beberapa daripada kami terpaksa menghentikan penjelajahan mereka dek kesilapan mereka sendiri. Namun, walau apa pun yang terjadi kami perlu meneruskan perjalanan hidup di sini kerana destinasi yang dituju masih jauh. Pembaharuan yang dibawa oleh Tuan Haji Ariffin banyak membantu kami membentuk peribadi sebagai ‘extra ordinary students’. Penghujung musim kedua semakin hampir, bahtera Batch of 45 melabuhkan sauhnya, pelayaran musim kedua berhenti seketika. Segala pengalaman sepanjang musim ini semakin mendewasakan kami. Tidak sabar rasanya menanti apakah hidangan yang bakal disediakan sepanjang musim ketiga. Walaubagaimanapun kami perlu berehat buat sementara waktu …
MURNI DI PERSADA, JALINAN NALURI MAHKOTA KETIGA, MENILAI PRESTASI
Lembaran baru dibuka, semangat warga Batch of 45 untuk meneruskan hidup di STAR semakin kukuh. Bahtera batch of 45 memulakan pelayarannya. Misi dan ujian berat semakin jelas kelihatan setelah 2 tahun tinggal sebumbung. Namun, alah bisa tegal biasa, itu semua tidak menjadi kekangan untuk kami meneruskan kehidupan di STAR. Kami berasa gembira kerana kami tidak dipisahkan mengikut kabilah-kabilah warna, kami masih terus kekal di bawah satu bumbung. Blok Rumah Merah masih lagi menjadi istana penginapan kami.
Tahun ini kami diamanahkan dengan tanggungjawab yang suci yang harus ditunaikan. Cabaran untuk menaikkan kembali nama STAR menjadi tunjang perjuangan kami untuk berjaya dengan cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR). Pihak Sekolah sememangnya meletakkan harapan yang tinggi kepada kami untuk menjulang nama STAR.
Kami juga berjaya melakarkan sejarah untuk diri kami sendiri apabila pasukan bola sepak U-15 berjaya menjadi Johan Daerah Kinta 2. Selain itu pasukan ragbi juga telah menampakkan bisanya apabila telah mendapat tempat ketiga seluruh negeri Perak.
Namun, kesilapan yang dilakukan abang-abang senior telah memakan diri mereka sendiri. 20 orang pelajar tingkatan 5 terpaksa digugurkan oleh pihak sekolah atas kegagalan mereka menunaikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan. Mungkin mereka terlalu leka selaku pelajar yang paling senior di sini. Natijahnya, nama STAR telah menggegarkan seluruh pelosok negara dan meninggalkan impak yang besar buat kami di sini.
Warga Batch of 45 juga hampir berpecah-belah ekoran daripada tragedi tersebut. Tetapi pengalamnan hidup serumpun selama 2 tahun banyak mengajar kami realiti hidup bersaudara. Bahtera batch of 45 akhirnya berjaya dikemudi dengan baik setelah perselisihan faham yang berlaku diselesaikan. Kami juga terpaksa akur dan merelakan pemergian rakan-rakan yang hanyut dibawa arus kealpaan.
Sesungguhnya segala tohmahan dan herdikan yang dilemparkan sedikitpun tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang. Sebelum ke medan peperiksaan, pelbagai program telah diatur dan disediakan untuk kami sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan PMR. Tanggal 3 Oktober menjadi penetu segala penat lelah kami selama 3 tahun.
Pengalaman getir tahun 2003 nyata menjadikan kami insan yang lebih matang. Pahit maung yang dilalui pastinya menjadi memori yang tidak akan kami lupakan. Musim ketiga menemui penghujungnya, bahtera batch of 45 singgah berehat menanti musim seterusnya ……..
GEMILANG BERSAMA, ANTARA KITA SEJARAH TERCIPTA, MAHKOTA KEEMPAT DIRENCANA
Honeymoon Year!!! Anggapan ini sering kali terlintas di kotak pemikiran kami, namun ini langsung tidak menggoyahkan semangat juang kami. Bahtera batch of 45 meneruskan pelayarannya mengharungi ombak dan badai yang pastinya lebih sukar lagi mencabar.
Alhamdulillah … berkat usaha dan kesungguhan kami seramai 84 orang anak-anak kapal bahtera batch of 45 berjaya melakar sejarah terhebat STAR sedekad ini. Kejayaan mendapat keputusan cemerlang 8A sememangnya menggegarkan dan membanggakan buat kami semua. Segala cacat-cela bumi STAR sebelumnya berjaya kami mansuhkan. Keputusan terbilang ini berjaya meletakkan STAR di tangga keempat seluruh negara untuk PMR 2003.
Kehadiran 40 orang rakan-rakan ‘freshie’ yang baru telah mengisi kekosongan jiwa yang lara akibat hilangnya rakan-rakan yang terkandas di tengah-tengah perjalanan. Kami membawa diri ke blok Rumah Hitam yang menjadi istana penginapan kami untuk musim ini. Ternyata dengan sistem blok yang masih diteruskan sedikit sebanyak telah menyemarakkan lagi api semangat batch kami.
Penangan beberapa subjek baru seperti Add-Math, Fizik, Kimia dan Biologi sememangnya menguji kami dari segenap aspek pelajar cemerlang. Namun, berpegang pada pepatah, ‘ perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama’, semua itu tidak menghalang kami untuk berjaya. Seramai 20 orang anak-anak kapal bahtera batch of 45 sekali lagi diberi mandat untuk memikul tanggungjawab selaku pengawas bagi membentuk sahsiah diri pelajar STAR.
Sedang kami mengalun rentak pelayaran, kami sekali lagi diuji dengan persaraan Bapa Penjana Paradigma,ayahanda Tuan Haji Ariffin. Kehadiran beliau amat besar ertinya kepada seluruh warga STAR. Ketegasan dan kesungguhan beliau berjaya menggilap kembali nama STAR yang pernah malap suatu ketika dahulu. Pemergian Encik Gufri juga turut dirasai oleh seluruh warga STAR. Patah tumbuh hilang berganti, kami bersua seorang lagi pengetua yang akan merajui STAR, ayahanda Tuan Haji Radzi bin Abdul Jabar.
Kenangan menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri, Y.A.B Datuk Sri Najib Tun Razak sempena Majlis Anugerah Cemerlang merupakan sesuatu yang amat bermakna buat kami.
Kami sekali lagi berjaya membuktikan keunggulan bahtera batch of 45 setelah berjaya menduduki tangga keenam dalam peperiksaan akhir tahun selaras SBP. Kejayaan ini lebih bererti lagi apabila kami berjaya menduduki tangga teratas bagi matapelajaran Add-Math.
Dalam keseronokan mengharungi ‘Honeymoon Year’, perhentian seterusnya menggamit tiba. Sekali lagi bahtera batch of 45 melabuhkan sauhnya . Kami bakal melepaskan layar baru untuk kekal semusim lagi .. BUALAN BERSAMA, MANIS DI BIBIR MAHKOTA KELIMA MENANTI AKHIRTahun terakhir kami di STAR,banyak yang kami fikirkan.Setiap tawa dan detik-detik indah bersama kian menghampiri penghujungnya. Menjadi warga STAR yang paling berpengalaman sungguh mencabar kewibawaan kami semua.Bumbung blok tingkatan 5 dan blok matriks menjadi istana kami untuk kali terakhir di bumi STAR ini.Wajah kami sememangnya bersemangat untuk meneruskan kehidupan di STAR untuk musim terakhir.Kehilangan turut dirasakan oleh kerana ayahanda Tn. Hj. Radzi b. Abd. Jabar terpaksa berpindah dari STAR kerana dinaikkan pangkat. Segala jasa baktinya akan kami kenang.Kami juga menyambut baik kehadiran ayahanda, Tn. Hj. Shukor Md. Shariff yang menjadi pengetua seterusnya. Pendekatannya yang penuh wawasan memberikan kami suntikan semangat yang baru untuk melakarkan lebih banyak kejayaan buat masa seterusnya.Organisasi kepimpinan juga diperkemas. Hubungan silaturrahim kami dengan adik-adik disini dipereratkan sejak dari awal tahun lagi.Latihan rumah setiap petang mengisi ruang untuk kami mengenali mereka dengan lebih dekat.Acara olahraga dan sukan tahunan di STAR pada tahun ini sememangnya kami nantikan.Mana taknya, kami yang mengatur setiap perancangan tersebut.Hiasan rumah yang tersergam megah pada hari tersebut membuktikan kewibawaan kami memimpin.Panji-panji warna yang berkibar megah,sememangnya membanggakan setiap mereka yang bernaung di bawahnya.Walaupun berasa sedikit hampa, kami masih lagi berbangga dengan pencapaian pasukan sekolah yang diwakili oleh kami.Semangat dan daya juang yang tinggi sememangnya tidak pernah padam.Pasukan hoki STAR,Anaconda 05 berjaya mengekalkan kejuaraan dengan menjadi johan Daerah Kinta 2. Pasukan kriket juga berjaya merangkul tempat ketiga di Negeri Perak.Salah seorang dari kami telah berjaya mewakili Negeri Perak untuk ke peringkat kebangsaan dalam permainan kriket.Pasukan ragbi juga boleh dibanggakan kerana mendapat tempat kedua Daerah Kinta. Namun, apa yang lebih membanggakan kami, salah seorang dari kami telah menjadi johan pertandingan syarahan agama di peringkat kebangsaan.Sambutan hari guru pada tahun ini juga merupakan sesuatu yang tidak dapat dilupakan oleh warga STAR kerana keunikannya yang tersendiri.Kami selaku pelajar yang paling senior telah mengaturkan yang terbaik untuk guru-guru tersayang.Pacakan pintu gerbang menghiasi hari yang bersejarah ini.Alunan lagu ciptaan khas untuk guru-guru di STAR sempena hari guru juga telah berjaya kami perdengarkan.
Dalam program akademik kami tahun ini, kami berasa sangat bertuah kerana kumpulan STAR 80 telah sudi untuk membantu kami dalam mencari kerjaya yang bersesuaian.Kami juga memberikan sepenuh tumpuan terhadap “core-business” kami untuk berjaya dalam SPM.Bertepatan dengan motto sekolah iaitu `SPM NO. 1’ kami bersungguh-sungguh untuk mencapainya.Program mentor-mentee yang kami jalankan bersama serta tunjuk ajar daripada guru-guru memantapkan lagi segala usaha kami.
Bahang SPM kian terasa.Segala usaha kami yang tidak pernah luntur untuk memastikan nama STAR sentiasa disegani terbukti apabila kami berjaya menduduki tempat keenam daripada 54 buah sekolah berasrama penuh,untuk Peperiksaan Percubaan SPM Selaras SBP 2005.Apa yang lebih membanggakan ialah inilah keputusan yang terbaik buat masa ini …
Sedang kami berusaha untuk berjaya,hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kami bersama.Musim- musim bersama rakan yang dianggap sebagai adik beradik ini sudah hampir ke penghujungnya.Lima musim yang menjalinkan ukhwah yang begitu akrab hampir berakhir.Tiada lagi saat bersama,laungan dan sorakan cheers sudah lenyap keagungannya.Terasa sebak juga untuk memikirkan apa yang akan berlaku, namun kami yakin setiap yang terjadi pastinya mendewasakan kami.Sebagai warga STAR yang pernah mengalami pelbagai perubahan di STAR, di bawah aras kepimpinan yang berbeza-beza kami cukup árif untuk memperkatakan tentangnya.Pengalaman yang bermakna cukup untuk merungkai segala simpul.Apa yang kami harapkan adalah yang terbaik dan mencatatkan sesuatu yang sememangnya terbilang untuk alma mater tercinta.Kepada guru-guru kami memohon restu untuk berjaya,supaya pelayaran batch of 45 yang akan melabuhkan sauhnya untuk kali terakhir ini sentiasa diingati kerana nilainya yang mengusik minda di jiwa.
The above extract is from an article that was published in the school magazine, PERINTIS 2005. To read the full magazine, go to STAROBA Virtual Library Bookcase